Senario pembangunan

Daerah Jempol di Negeri Sembilan adalah satu dari beratus daerah di Negara ini yang sedang mengalami perubahan hasil dari usaha yang dilaksanakan membawa pembangunan dan kemajuan,  bukan sahaja kepada kehidupan penduduknya,  malah kepada keadaan fizikalnya juga.

Tanda-tanda pembangunan,  dapat dilihat di mana juga dalam daerah ini.  Kita lihat kawasan-kawasan yang disediakan untuk membawa infrastruktur moden kepadanya,  seperti bangunan sekolah,  klinik desa,  kawasan perindustrian,  kawasan perniagaan,  kawasan tanaman dan tidak ketinggalan kawasan untuk perumahan.  Semua ini tidak syak lagi ialah untuk membawa masyarakat penghuninya kepada satu suasana hidup yang lebih ceria,  sejahtera  dan  cemerlang.  Inilah pula ingredient sebuah masyarakat dan bangsa yang maju.

Apa yang kita lihat di Daerah Jempol,  iaitu wujudnya sebuah bandar baru,  satu kawasan penempatan baru,  kawasan pertanian baru,  dan banyaki lagi,  dapat juga kita lihat di lain-lain daerah di Negara ini.  Maknanya,  pembangunan sudah menjadi satu lumrah hidup kepada insan yang tinggal di dalamnya.  Atau boleh kita katakan,  bahawa pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan adalah yang menyeluruh,  bukan sahaja dari aspek fizikalnya,  bahkan juga rohani masyarakatnya.

Oleh kerana kita sekarang ini menumpukan perhatian kepada Daerah Jempol,  kita akan mempunyai anggapan bahawa di sini sajalah wujudnya pembangunan.  Walhal di daerah-daerah di sekeliling daerah ini,  kita akan menyaksikan suasana dan senario yang sama.   Mungkin ada juga daerah atau wilayah yang lain yang lebih aktif usaha  dijalankan dalam bidang pembangunan ini.

Pernah di katakan oleh mereka yang mempunyai pemikiran  kritikal,  perubahan pada corak muka bumi satu-satu kawasan itu tidaklah bermakna bahawa pembangunan sudah tiba.  Tetapi dari sudut mana juga kita lihat,  perubahan fizikal membawa bersamanya perubahan dalam kehidupan masyarakat penghuninya,  perubahan pada corak pemikirannya,  terbuka luasnya minda masyarakat,  berinovasi dan kreatifnya sifat dan semangat masyarakat,  dan banyak lagi.

Pada ketika manakala perkataan ‘pembangunan’ mula diperkenalkan kepada masyarakat dulu,mungkin scenario ini tidak begitu nyata.   Mungkin pada ketika itu  ‘pembangunan’   merupakan satu perkataan yang asing kepada mereka.   Tetapi hari ini,  peredaran zaman telah membawa satu perubahan yang mendadak  kepada masyarakat.

Dan dari Daerah Jempol ini,  kita akan meninjau beberapa lagi daerah dan wilayah yang sudah intim dengan perkataan dan juga suasana pembangunan.   Inilah seharusnya,  tambahan pula Negara kita sudah pun hidup sebagai Negara yang berdaulat dan merdeka lebih dari setengah abad sekarang.

Pembangunan dari kaca mata seorang insan biasa

Pembangunan merangkumi pelbagai aspek kehidupan.

Kepada kita insan biasa,  perkataan pembangunan itu membawa erti segala kemudahan yang dibawa kepada kita supaya kehidupan kita lebih sejahtera,  cemerlang,  bahagia  dan  penuh keceriaan …. kemudahan-kemudahan yang akan mengangkat kedudukan kita supaya setaraf dengan lain-lain insan yang berada di bahagian-bahagian dunia yang lebih maju dan  telah membangun.

Di negara kita,  bila disebut pembangunan maka akan terlintas dalam fikiran kita bangunan-bangunan moden,  sekolah-sekolah,  hospital-hospital,  universiti,  bangunan-bangunan pencakar langit,  lebuh-lebuh raya yang lebar,  pusat-pusat membeli belah yang serba canggh dan moden dipenuhi dengan barangan terkini dan banyak lagi.   Akan terlintas juga difikiran kita kemudahan-kemudahan komunikasi seperti Internet,  hubungan jalur lebar,  siaran satelit,  perbankan elektronik,  urusan pertadbiran elektronik,  pengajian jarak jauh  dan seumpamanya.  Akan juga terbayang kepada kita kemudahan-kemudahan pengangkutan seperti monorail,  keretapi berkuasa letrik,  kereta yang menggunakan tenaga solar,  dan lain-lain lagi.

Pendek kata,  banyaklah akan terlintas di fikiran kita,

Akan tetapi jika difikirkan sedalam-dalamnya,  banyak lagi aspek yang perlu kita ambil perhatian dalam membincangkan ehwal pembangunan ini.   Memang benar bahawa segala kemudahan yang didatangkan oleh pembangunan kepada kita di negara ini,   mengubah cara dan corak kehidupan kita.  Cara kita berfikir dan cara kita menerima sesuatu itu  secara langsung atau tidak langsung dipengaruhi oleh kemudahan-kemudahan yang dibawa oleh pembangunan.

Rasanya,  walaupun segala kemudahan ini berada di hadapan kita,  jika kita tidak tahu menggunakannya sebaik mungkin,  maka pembangunan dalam bentuk fizikal ini tidak akan membawa apa-apa makna kepada pembangunan rohaniah kita.  Yang bermaksud bahawa pembangunan fizikal perlulah berjalan seiring dengan pembangunan mental dan minda kita.  Maknanya selain dari yang kita nikmati secara fizikal  ini perlu juga disertakan dengan usaha menimba ilmu pengetahuan,  kerana ilmu pengetahuan boleh menjana dan memacu pembangunan insan,  yang seterusnya dapat membawa kesedaran kepada kita tentang maksud pembangunan sebenarnya.

Kita lihat sahaja di beberapa kawasan di negara kita,  di bandar mahu pun di desa.  Kita perhatikan kemudahan-kemudahan yang diwujudkan.  Antaranya pondok-pondok talifon yang banyak disediakan untuk memberi kemudahan perhubungan kepada semua …. kebanyakannya tidak berfungsi ,,, rosak atau alatnya hilang.  Kita lihat pula kepada keadaan beberapa tandas awam … kebanyakannya berkeadaan seolah-olah tidak berurus.  Kita lihat juga keadaan di padang permainan kanak-kanak … banyak peralatan yang disediakan … juga musnah.   Sebabnya … satu sahaja,  kita belum sedia memahami kehadiran kemudahan-kemudahan ini.  Kita belum sedar bahawa kemudahan-kemudahan ini adalah untuk kita … dalam erti kata pembangunan.

Dengan lain-lain perkataan,   pembangunan yang menyeluruh hendaklah dijadikan matlamat dan objektif hidup kita di zaman berteknologi tinggi hari ini

JALAN PENARIKAN – Laluan Sejarah di Jempol

Jalan Penarikan,  yang juga dikenali sebagai  Londar Siam,  adalah sebatang jalan darat tertua diketahui di Semenanjung Malaysia,  dan merupakan jalan alternatif kepada jalan laut,  iaitu melalui Temasik  (Singapura)  di selatan Semenanjung Malaysia,  yang agak jauh dan berbahaya pada musim tengkujuh.

Jalan ini menghubungkan dua batang sungai iaitu Sungai Serting di sebelah utara yang mengalir masuk ke Sungai Bera yang pula mengalir ke Sungai Pahang dan Sungai Jempol di selatan yang mengalir masuk ke Sungai Muar.   Kedua-dua sungai ini terletak di daerah Jempol,  Negeri Sembilan.  Jarak terdekat di antara kedua-dua sungai ini adalah kira-kira 0.6 km.

Di sinilah letaknya Jalan Penarikan.

Kita telah menyentuh sedikit mengenai jalan bersejarah ini kira-kira dua minggu yang lalu.    Kita akan paparkan sejarah laluan tua di daerah Jempol ini dengan lebih terperinci lagi,  dalam masa terdekat.   Kami sedang membuat kajian,  penyelidikan dan rujukan yang relevan dengan pihak-pihak yang lebih arif dan mengetahui mengenainya,   antaranya ialah Persatuan Sejarah Malaysia,  Cawangan Negeri Sembilan.

Tanda-tanda pembangunan

Apabila kita berbicara mengenai soal pembangunan di sesebuah negara,  negeri  atau  kawasan itu,  akan terlintas di fikiran kita pelbagai perkara yang berkaitan dan relevan dengan subjek ini.  Akan terbayang kepada kita program dan aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan untuk membawa suatu perubahan kepada keadaan fizikal kawasan itu,  dan juga masyarakat penghuninya.  Pendek kata akan terbayang kepada kita suatu keadaan yang  menukar senario atau corak kehidupan di kawasan berkenaan.

Sejak negara mencapai kemerdekaannya kira-kira lima dekad yang lalu,  pembangunan menjadi satu topik atau isu yang utama dalam apa juga program yang dilaksanakan.   Dan pembangunan ini datang dalam berbagai bentuk. 

Rata-rata program-program pembangunan yang telah dirancang dan dibawa melalui Rancangan-Rancangan Pembangunan Malaysia mempunyai satu tujuan,  iaitu untuk mengubah keadaan dan corak kehidupan warga,  membawa taraf hidup yang lebih tinggi,   sambil menyediakan kemudahan-kemudahan yang membantu membawa perubahan ini.

Bidang-bidang yang ditumpukan perhatian ialah seperti kesihatan,  terdapat sebuah hospital modern di sini;  bidang pendidikan melihatkan beberapa buah sekolah menengah dan rendah yang moden dibina;  bidang ekonomi menampakkan kawasan perindustrian;  bidang pertanian memaparkan ladang-ladang kelapa sawit dan getah;  bidang keagamaan terbina sebuah masjid yang moden;  bidang perhubungan membolehkan kita menggunakan jalan raya yang dibina dengan baik;  pembangunan masyarakat melihatkan rancangan-rancangan FELDA dan pelbagai lagi.

Dan di kawasan Daerah Jempol,  di Negeri Sembilan ini,  tanda-tanda pembangunan ini menyerlah.  Suasana pembangunan kelihatan di mana saja.  Di pekan Bandar Seri Jempol,  mahu pun di Bahau atau di Batu Kikir,  tanda-tanda ini jelas … di kalangan anggota masyarakatnya dan juga infrastruktur yang diwujudkan.  Kehidupan di kawasan ini diselubungi oleh aura pembangunan.

Daerah Jempol – satu pengenalan

Tidak lama dahulu kita biasa mendengar nama Bandar Baru Serting.   Sekarang ditukar nama itu kepada BANDAR SERI JEMPOL.  Dan letaknya dalam Daerah Jempol.

Daerah Jempol mengandungi 5 mukim iaitu Mukim Serting Ilir,  Mukim  Jelai, Mukim Kuala Jempol,  Mukim Rompin dan Mukim Serting Ulu.  Keluasannya ialah 138,569 hektar,  dan jumlah penduduknya ialah 122, 814 orang.

Jempol merupakan antara daerah terbesar di Negeri Sembilan.  Daerah yang terletak bersempadan dengan Negeri Pahang.   Bandar utamanya ialah Bahau.

Dijangkakan Daerah Jempol akan terus membangun dalam masa terdekat iaitu di antara 5 hingga 10 tahun lagi.  Di sini juga letaknya pertembungan antara Sungai Muar dan Sungai Serting.

Untuk mengetahui lebih dekat lagi Daerah Jempol,  kita tinjau sedikit peristiwa-peristiwa dalam sejarahnya yang dipetik dari   Wikipedia ensiklopedia bebas.

Negeri Sembilan yang terkenal dengan adat pepatih, sosio budaya masyarakat dan sejarah telah mejadikan daerah jempol ini dikenali sebagai ” Laluan Sejarah”. Ini merupakan imej yang boleh diketengahkan untuk dijadikan sebagai sumber tarikan pelancong untuk ke daerah ini. Beberapa peninggalan sejarah di kawasan Jempol ialah:

Jalan Penarikan

Jalan Penarikan yang juga terkenal sebagai Londar Siam adalah sebatang jalan darat tertua pernah diketahui di Semenanjung Malaysia dan merupakan jalan alternatif kepada jalan laut iaitu melalui Temasik (Singapura). Jalan ini telah menghubungkan dua batang sungai Serting di sebelah utara dan sungai Jempol di bahagian selatan.

Sejarah awal Jalan Penarikan ini tidak diketahui dengan tepat namun pernyataan tentangnya hanya diperolehi daripada dokumen lain secara kebetulan menyebutnya. Jalan ini dikatakan telah mula digunakan oleh pedagang-pedagang dari pantai barat semenanjung untuk pergi ke pantai timur (termasuk Siam) dan sebaliknya untuk menjalankan kegiatan perdagangan.

Peta terawal yang melakarkan Jalan Penarikan ini telah melukis dalam abad ke 16 oleh seorang ahli geografi Eropah. Namun pada abad ke 17, seorang pengembara Portugis telah melakarkan semula Jalan Penarikan ini yang mana telah menunjukkan ianya adalah satu jalan darat bukan satu terusan seperti yang telah digambarkan oleh ahli geografi Eropah itu.

Mengikut sejarah, Jalan Penarikan ini merupakan jalan darat yang sibuk dan terkenal serta telah memberi sumbangan dan menyaksikan berbagai sejarah lebih kurang 700 tahun. Dengan demikian, Jalan Penarikan ini perlu dijaga sebagai satu warisan sejarah yang penting dan perlu dibaikpulih, dipelihara dan “dinampakkan semula” agar generasi akan datang menyaksikan satu peninggalan sejarah yang penting.

Sejarah Peperangan Senapang & Parang

Pekan  Batu Kikir yang terletak lebih kurang 16km dari Kuala Pilah dan 12km dari Bahau merupakan sebuah kampung tersusun pada awalnya. Di pekan ini telah menyimpan satu sejarah yang masih belum dikenali secara meluas. Mengikut sejarah, terdapat satu peperangan yang agak menarik iaitu peperangan di antara masyarakat Melayu yang menggunakan senjata parang melawan pasukan Bintang Tiga yang menggunakan senapang. Walaupun senjata yang gunakan pasukan Bintang Tiga lebih baik berbanding dengan masyarakat Melayu pada ketika itu, tetapi kemenangan telah memihak kepada Masyarakat Melayu.

Peperangan ini menjadi satu sejarah yang mengambarkan semangat perjuangan masyarakat ketika itu menentang pasukan Bintang Tiga yang menjadikan Gua di Simpang Pertang sebagai markas mereka. Peperangan ini berpunca dari peristiwa amuk di Padang Lebar berhampiran dengan Pekan Batu Kikir. Akhirnya peristiwa ini bertukar kepada satu peperangan yang dahsyat dan melibatkan banyak nyawa dari pasukan Bintang Tiga terkorban. Peperangan ini telah berlaku pada bulan November 1946.

Peristiwa ini perlu diteliti kerana ianya memberi pengajaran tentang kehidupan yang harmoni datang dari kepercayaan dari satu kaum kepada satu kaum yang lain untuk tingggal bersama dalam satu tempat.

Kita akan sambung kisah Daerah Jempol dalam masa terdekat.

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.